Mengenai RL

SEJARAH RADIO LAGENDA

Radio Lagenda telah memulakan siarannya pada Ogos 2012 dengan nama radio yang sama. Siaran radio online ini dimiliki penuh oleh seorang individu yang sangat meminati lagu-lagu lama. Malah adakalanya individu ini juga layan lagu-lagu terkini.

Siaran radio ini langsung tidak membuat sebarang keuntungan dan hanya bertujuan untuk menghiburkan diri individu tersebut sahaja yang mendengar ketika memandu ke tempat kerja atau mendengar semasa dalam perjalanan untuk bercuti.

Tercetusnya idea membuat radio ini disebabkan oleh individu ini sudah bosan layan radio frekuensi yang sangat padat dengan iklan berbanding siaran lagu. Dengan itu, Radio Lagenda memang tidak menerima dan tidak akan menerima sebarang iklan untuk disiarkan di sini. Hanya siaran lagu tanpa henti.
Radio Lagenda pula diilhamkan dari nama radio online Komuniti MyWarung yang pernah disertai oleh individu ini suatu ketika dahulu iaitu Warung Lagenda yang telah pun menamatkan siarannya pada September 2010.

KANDUNGAN SIARAN RADIO LAGENDA

Siaran lagu-lagu dalam Radio Lagenda ini adalah 100% selera dari individu ini yang pada awalnya memberi ruang hanya kepada 20 orang pendengar pada satu-satu masa. Pada 27 Oktober 2016, telah dinaikkan kepada 40.

Radio Lagenda bersiaran sepenuhnya tanpa DJ dan mengikut Jadual Siaran yang telah disusun mengikut genre lagu. Radio Lagenda sangat mementingkan kualiti audio setiap lagu yang disiarkan dan juga ‘explicity’. Setiap lagu akan ditapis tahap kecarutannya dan juga kualiti audionya. Dengan bangganya dimaklumkan bahawa pendengar boleh menikmati lagu-lagu di Radio Lagenda dengan kualiti CD dan pastinya ‘selamat’ dari ‘explicity’ berbanding radio online yang lain. Walaupun data yang disiarkan hanyalah 24kbps (pada masa itu), namun kualiti audio di radio ini tetap menakjubkan jika didengar bersama set audio yang berkualiti tinggi. Ini kerana, faktor kualiti audio ini sentiasa menjadi keutamaan kepada pemilik radio ini.

PENDENGAR RADIO LAGENDA

Radio Lagenda telah ada peminat tersendiri yang berumur di antara 13 hingga 50 tahun. Seleksi Rock Jiwang (Edisi Siang & Malam) yang disiarkan pada masa itu selama 8 jam sehari, telah menjadi seleksi yang paling popular di radio ini dan ianya memang sentiasa dinantikan siarannya oleh pendengar setia radio ini yang berada di Malaysia dan juga di luar negara.

Selain itu, Radio Lagenda juga telah menerima beberapa permintaan dari penyanyi baru supaya menyiarkan lagu mereka di radio ini. Radio Lagenda juga tidak ketinggalan dengan media sosial. Dengan bantuan beberapa penyokong radio ini, laman web (www.radiolagenda.net) dan twitter (@radiolagenda) telah siap dibangunkan.

PENJENAMAAN SEMULA RADIO LAGENDA

Bermula 22 Jun 2018, Radio Lagenda telah dijenamakan semula dengan nama RL yang seterusnya membuka beberapa saluran radio lain yang ada konsep yang tersendiri.

Sebagai memenuhi citarasa pendengar, Seleksi Rock Jiwang yang dulu bersiaran di Radio Lagenda, telah dijadikan satu saluran radio yang khas yang memainkan 100% lagu rock jiwang, diberi nama Rock Jiwang. Saluran ini mula bersiaran pada 22 Jun 2018.

Saluran kedua Radio Lagenda (RL) iaitu saluran Pesona, mula bersiaran pada 11 Ogos 2018. Menyiarkan lagu-lagu hits pelbagai bahasa. Tapi lagu bahasa melayu & bahasa inggeris lebih dominan di saluran ini. Namun saluran ini dihentikan siarannya pada 22 November 2022 disebabkan kurang mendapat sambutan di kalangan netizen serta kos penyiaran radio juga telah meningkat.

Saluran ketiga RL iaitu saluran Retro, mula bersiaran pada 20 Oktober 2018. Menyiarkan lagu retro dan klasik melayu/inggeris dari tahun 50an hingga 90an. Saluran ini juga telah dihentikan siarannya pada 16 November 2022, lebih awal dihentikan dari saluran Pesona. Sambutan dari netizen agak baik pada saluran ini, namun terpaksa juga dihentikan disebabkan kos penyiaran yang agak tinggi.

Saluran keempat RL iaitu saluran BBest atau lebih dikenali dengan nama Radio BBest SAKBA. Saluran radio ini memulakan siarannya pada 1 Januari 2021 dan kandungan siaran adalah di bawah pengurusan sekumpulan murid di SM Sains Kepala Batas. Bermula dengan pengawas Briged Bestari dan kini telah bertukar kepada Kelab Media & Fotografi (PHOMEC). Siaran lagu-lagu adalah lebih kepada minat murid sekolah ini. Terdapat beberapa segmen bual bicara yang telah diterbitkan di saluran radio ini. Namun disebabkan tuntutan hakcipta, saluran ini terpaksa juga dihentikan pada 13 Januari 2024. Ini kerana semua saluran radio di bawah RL Network tiada sebarang pendapatan.


RADIO LAGENDA @ RL

Kini RL hanya ada 1 (SATU) saluran radio yang masih beroperasi.

Semoga saluran radio yang masih tinggal ini terus mendapat tempat dan memenuhi citarasa netizen semua.